KELANA JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara rasmi melantik pengendali dari Croatia, Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan, Harimau Malaya.
Pengumuman yang dibuat pada Selasa itu turut menyaksikan bekas pengendali interim, Tan Cheng Hoe diberikan peranan baharu sebagai Pengarah Pasukan Harimau Malaya.
Hodak, 55, yang berasal dari Zagreb, Croatia bukanlah nama asing dalam arena bola sepak tempatan apabila pernah membimbing beberapa pasukan termasuk UPB-MyTeam, Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC.
Beliau juga pernah mengendalikan skuad bawah 19 tahun (B-19) negara dari 2017 hingga 2019.
Antara pencapaian terbesar Hodak di Malaysia ialah membantu Kelantan meraih kejuaraan treble domestik pada 2012 menerusi gelaran Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia dalam satu musim.
Beliau kemudian membimbing JDT menjuarai Liga Super 2014 sebelum mencipta sejarah bersama Kuala Lumpur City FC apabila memenangi Piala Malaysia 2021 serta muncul naib juara Piala AFC 2022.
Di peringkat antarabangsa, Hodak turut membawa skuad B-19 negara menjuarai Kejuaraan AFF B-19 2018 di Surabaya, Indonesia.
Pengalaman kejurulatihannya di rantau Asia Tenggara turut merangkumi tugas bersama Phnom Penh Crown di Kemboja dan PSM Makassar di Indonesia.
Terbaharu, beliau mencipta kejayaan bersama kelab gergasi Indonesia, Persib Bandung apabila memenangi tiga gelaran liga sepanjang tempoh kendaliannya.
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pemilihan Hodak dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap pengalaman, kemampuan serta rekod kejayaannya membentuk pasukan yang kompetitif.
Menurutnya, pengalaman luas Hodak dalam bola sepak Malaysia dan Asia Tenggara menjadi kelebihan penting untuk memahami persekitaran, karakter serta potensi pemain tempatan.
FAM berharap pelantikan itu dapat memberikan hala tuju baharu kepada Harimau Malaya selain memperkukuh persiapan pasukan menghadapi cabaran dan kejohanan antarabangsa akan datang.
Hodak mengambil alih tugas berkenaan selepas FAM menamatkan kontrak bekas ketua jurulatih, Peter Cklamovski secara persetujuan bersama berkuat kuasa 16 Jun 2026.
Tan Cheng Hoe kemudian dilantik sebagai ketua jurulatih interim pada 25 Jun 2026.
Dalam kenyataan sama, FAM turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Cheng Hoe kerana sudi memikul tanggungjawab mengetuai skuad kebangsaan sepanjang tempoh interim.
Cheng Hoe akan terus bersama FAM menerusi jawatan baharu sebagai Pengarah Pasukan Harimau Malaya bagi membantu memperkukuh pengurusan pasukan serta laluan pembangunan bola sepak negara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC
