BANGKOK – Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berpuas hati membawa pulang satu mata selepas diikat 1-1 oleh wakil Thailand, Ratchaburi FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Ratchaburi, malam tadi.
Dalam aksi perlawanan kelima itu, skuad Harimau Selatan terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Marcos Guilherme sebelum tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan pada babak kedua.
JDT yang dikendalikan Xisco Muñoz mempertaruhkan gandingan Jairo Da Silva dan João Figueiredo di jentera serangan bagi memburu kemenangan di gelanggang lawan.
Bagaimanapun, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang sepanjang 30 minit pertama sebelum JDT memecah kebuntuan pada minit ke-36.
Kesilapan penjaga gol Ratchaburi dimanfaatkan sepenuhnya oleh Marcos Guilherme yang pantas menyambar bola untuk menolak masuk ke gawang sekali gus meletakkan JDT di depan 1-0 sehingga tamat babak pertama.
Tersentak dengan jaringan itu, Ratchaburi meningkatkan tekanan sebaik babak kedua bersambung dalam usaha mencari gol penyamaan.
Usaha tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-56 apabila pemain gantian, Njiva Rakotoharimalala, menyudahkan peluang dari jarak dekat untuk mengikat kedudukan 1-1.
Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol kemenangan, namun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Keputusan itu menyaksikan JDT dan Ratchaburi masing-masing berkongsi satu mata dalam aksi kelima saingan ACLE. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC
