IPOH – Kekalahan 2-4 kepada Australia dalam aksi keempat Piala Sultan Azlan Shah (SAS) ke-32 malam tadi belum menutup peluang Speedy Tigers untuk melangkah ke final edisi 2026.
Sebaliknya, skuad hoki lelaki kebangsaan masih berpeluang merebut tiket ke perlawanan akhir apabila bakal berdepan Pakistan dalam aksi terakhir pusingan liga, Khamis ini.
Ketika ini, Speedy Tigers kekal di tangga kedua carta liga dengan sembilan mata, berkongsi jumlah mata sama dengan Pakistan yang berada di kedudukan ketiga berdasarkan perbezaan jaringan.
Australia pula menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat ke final selepas mengumpul keputusan positif dalam saingan tersebut.
Bagi memastikan kemaraan ke final, anak buah negara perlu menewaskan Pakistan atau sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri ketika kedua-dua pasukan bertemu nanti.
Meskipun tewas, terdapat perkembangan positif apabila Speedy Tigers akhirnya berjaya menjaringkan gol ke gawang Australia selepas gagal berbuat demikian dalam empat pertemuan terdahulu menentang pasukan ranking ketiga dunia itu.
Dalam aksi di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini, Australia bermula garang apabila meledak dua gol pantas menerusi Lachlan Sharp dan Cambell Geddes masing-masing pada minit ke-10 dan ke-11.
Faizal Saari kemudian merapatkan kedudukan buat Malaysia menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-19.
Bagaimanapun, Australia kembali melebarkan jurang apabila Craig Marais menjaringkan gol ketiga dua minit sebelum tamat separuh masa pertama.
Speedy Tigers terus mengasak pada babak kedua sebelum Muhajir Abdu Rauf berjaya menghasilkan gol kedua negara pada minit ke-57.
Namun, Australia pantas membalas menerusi Cooper Burns beberapa saat kemudian untuk memastikan kemenangan 4-2 menjadi milik mereka.
Kekalahan itu menyaksikan Speedy Tigers masih belum berjaya menewaskan Australia, sekali gus menjadikan pertemuan menentang Pakistan sebagai aksi penentuan buat skuad negara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Arena Hoki Malaysia
