Jais Abdul Karim
KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap bekas Ahli Parlimen, Tony Pua, berhubung penyebaran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya memandang serius penyebaran dokumen berkenaan yang dilaporkan disiarkan Tony Pua menerusi akaun Facebook miliknya pada 18 November lalu.
Menurutnya, MCW mengambil maklum kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail bahawa pihak polis masih belum menerima sebarang laporan polis berhubung tindakan individu terbabit.
“Bagaimanapun, ketiadaan laporan polis tidak seharusnya menjadi penghalang kepada PDRM untuk memulakan penelitian awal sekiranya terdapat maklumat yang memberikan asas munasabah mengenai kemungkinan berlakunya kesalahan.
“Tambahan pula, Perdana Menteri sendiri telah meminta supaya perkara ini disiasat, manakala Menteri Dalam Negeri menyerahkan kepada Ketua Polis Negara untuk menggerakkan sumber yang diperlukan bagi menyiasat kemungkinan kebocoran dokumen tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, MCW menggesa PDRM memanggil Tony Pua bagi memberikan keterangan mengenai bagaimana, bila dan daripada siapa beliau memperoleh dokumen berkenaan.
Selain itu, polis juga diminta mengenal pasti individu yang mempunyai akses kepada dokumen terbabit serta menyiasat keseluruhan rantaian penyebarannya.
Jais berkata, pihak berkuasa turut perlu menentukan tarikh sebenar, kesahan, skop dan tujuan penyahklasifikasian dokumen berkenaan.
Katanya, perkara itu penting bagi memastikan sama ada penyahklasifikasian untuk tujuan prosiding mahkamah turut membenarkan dokumen berkenaan disebarkan kepada masyarakat umum.
“MCW turut menggesa polis meneliti kemungkinan berlakunya pelanggaran Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), peraturan keselamatan kerajaan atau mana-mana peruntukan undang-undang lain yang berkaitan.
“Perkara ini bukan sekadar isu penyebaran dokumen kerajaan, sebaliknya turut menyentuh kewibawaan, kerahsiaan dan integriti institusi Lembaga Pengampunan yang menjalankan fungsi perlembagaan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau menegaskan siasatan tidak seharusnya terhad kepada individu yang menyiarkan dokumen berkenaan, sebaliknya perlu merangkumi pihak yang membekalkan, membocorkan atau memberikan akses kepada dokumen itu sekiranya dilakukan tanpa kebenaran sah.
Menurutnya, beberapa persoalan perlu dirungkai termasuk identiti pihak yang membocorkan dokumen, pihak yang membenarkan pengedarannya serta sama ada tindakan itu mematuhi undang-undang.
“MCW tidak mendahului hasil siasatan dengan menganggap Tony Pua atau mana-mana individu telah melakukan kesalahan. Namun, kedudukan politik seseorang tidak seharusnya menjadi penghalang kepada proses penguatkuasaan undang-undang.
“Sekiranya terdapat bukti pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya hendaklah diambil tanpa rasa takut, pilih kasih atau campur tangan politik.
“Tiada sesiapa mengatasi undang-undang. Integriti institusi negara tidak boleh dikompromikan demi kepentingan politik mana-mana pihak,” katanya. – DETIK MALAYSIA
