KUALA SELANGOR – SK Taman Melati mencipta kejutan apabila menewaskan pasukan pilihan SK Putrajaya Presint 15 (1) 4-3 menerusi sepakan penalti untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Bawah 12 Tahun Piala Magnolia F&N sulung di padang SK Bandar Baru di Kuala Selangor hari ini.
Kedua dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar dengan gol minit kelima Muhammad Afiq Daniel Juani untuk SK Putrajaya Presint 15 (1) manakala Ahmad Nurfayruz Ahmad Kamal dari SK Taman Putra mengikat kedudukan 10 minit kemudian.
Ketua jurulatih, Muhammad Ash Syahid Ismail berkata, pasukannya tidak bersiap sedia untuk penentuan sepakan penalti sebaliknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Pemain bekerja keras dan bersedia dengan baik untuk kejohanan ini. Untuk perlawanan suku akhir menentang pasukan Putrajaya ini, saya merasakan pemain agak goyah pada awal permainan dan itu menyebabkan kesilapan.
"Untuk separuh akhir esok, kami bersedia untuk apa sahaja. Kami tahu ia akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar tetapi kami bersedia," katanya.
Untuk separuh akhir esok, SK Taman Melati akan menentang satu lagi pasukan dari Putrajaya –SK Presint 9 (2) yang menang tipis 1-0 pada suku akhir ke atas SK Sri Pristana.
Muhammad Fathullah Mohammad Nizar menjaringkan gol tunggal permainan dengan pada minit ke-12.
Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun (B-12) F&N Magnolia dianjurkan dari 13 hingga 16 Oktober ini di Kuala Selangor, dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan.
Kejohanan tiga hari yang menghimpunkan juara-juara sekolah daripada pertandingan Majlis Sukan Daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan sepanjang tahun lalu itu akan menampilkan 16 pasukan kesemuanya.
Pasukan-pasukan ini dibahagikan kepada empat kumpulan dalam format pertandingan sembilan sebelah.
Juara dan naib juara kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.
Tuan rumah, Selangor diwakili oleh 10 pasukan, manakala Kuala Lumpur dengan empat pasukan dan Putrajaya dengan dua pasukan. - DETIK MALAYSIA
KEPUTUSAN SUKU AKHIR
SK Putrajaya Presint 9 (2) 1-0 SK Seri Pristana
SK Putrajaya Presint 15 (1) 1 (3) – 1(4) SK Taman Melati
SK Serdang UPM 2-0 SK Batu Muda
SK Sultan Hisamuddin Alam Shah 1-0 SK Semenyih