KUALA LUMPUR – Ibu kepada pelajar perempuan berusia 16 tahun yang terbunuh dalam kes tikam di sebuah sekolah menengah dekat Bandar Utama, Petaling Jaya mendakwa anak perempuannya ditikam lebih 200 kali oleh suspek kejadian.
Menurut ibu mangsa, Wong Lee Ping, kebanyakan kecederaan pada anaknya tertumpu pada sebelah kanan badan.
Beliau turut merayu orang ramai supaya berhenti menyebarkan maklumat salah mengenai kes itu, terutamanya dakwaan bahawa anaknya diserang secara seksual sebelum kematiannya.
“Polis memaklumkan yang suspek memanjat ruang tandas di mana anak perempuan saya berkurung sebelum menikamnya.
“Anak perempuan saya menjerit meminta tolong dan suspek melompat keluar dari situ (tetapi) segala-galanya sudah terlambat ketika guru memecah pintu tandas.
“Anak saya dan suspek tidak mengenali di antara satu sama lain sebelum ini. Hentikan penyebaran maklumat palsu, anak saya sudah menjadi mangsa,” katanya pada sidang media di Nirvana Center, semalam.
Hadir sama dalam sidang media itu termasuk ayah tiri mangsa, How Boon Chin; bapa saudara mangsa, Wong Yoon Kim; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.
Laporan media menyebut, polis tidak menolak pengaruh permainan video serta kandungan media sosial tertentu, mungkin menjadi antara faktor pendorong tindakan kejam suspek berusia 14 tahun itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti platform media sosial yang benar-benar memberikan pengaruh terhadap tindakan remaja berkenaan. - DETIK MALAYSIA