KLANG – Seorang murid lelaki Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Meru di sini meninggal dunia awal pagi tadi dipercayai akibat jangkitan Influenza A.
Mangsa, Muhammad Syeikhu Azrin, 8, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 pagi selepas beberapa hari dilaporkan mengalami demam dan batuk.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu disahkan dijangkiti Influenza A berdasarkan laporan perubatan.
“Seluruh ahli keluarga mangsa turut didapati positif jangkitan sama. Polis menerima laporan mengenai kematian kanak-kanak itu pada awal pagi dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya, hari ini.
Menurutnya, pasukan kesihatan juga telah menjalankan pemeriksaan serta langkah pencegahan bagi mengawal penularan wabak di kawasan berkenaan. - DETIK MALAYSIA