CHENGDU – Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite 2025/26 Zon Timur selepas menewaskan pasukan China, Chengdu Rongcheng 2-0 di Stadium Bola Sepak Phoenix Hill, sebentar tadi.
Skuad Harimau Selatan bermula garang apabila pemain sayap Sepanyol, Oscar Arribas membuka tirai jaringan seawal minit kelima. Hantaran menarik ke dalam kotak penalti disudahkan dengan tenang oleh Arribas untuk meletakkan JDT di depan.
Gol awal itu nyata mengejutkan tuan rumah yang cuba bangkit mencari gol penyamaan. Namun, benteng pertahanan JDT yang dikemudi Antonio Glauder dan Eddy Israfilov kental menangkis beberapa percubaan berbahaya, termasuk gerakan penyerang Chengdu, Pedro Delgado.
Pada minit ke-35, penyerang Brazil, Jairo da Silva hampir menggandakan jaringan menerusi rembatan padu, namun diselamatkan cemerlang penjaga gol Chengdu, Liu Dianzuo. Separuh masa pertama berakhir dengan kelebihan tipis 1-0 buat JDT.
Bersambung babak kedua, pengendali JDT, Xisco Muñoz terpaksa melakukan pertukaran apabila Israfilov mengalami kecederaan, dan tempatnya digantikan pemain berpengalaman, Shane Lowry.
Walaupun Chengdu meningkatkan tekanan, JDT kekal tenang dan melancarkan serangan balas pantas. Hasilnya, pada minit ke-62, bekas kapten Sporting Gijón, Nacho Mendez meledak gol kedua menerusi rembatan jarak jauh menakjubkan yang menewaskan Dianzuo sekali lagi.
Tuan rumah cuba bangkit di penghujung permainan, namun disiplin tinggi barisan pertahanan JDT memastikan tiga mata berharga menjadi milik mereka.
Kemenangan ini melonjakkan JDT ke tangga kelima kumpulan Zon Timur dengan empat mata selepas tiga perlawanan sekali gus menghidupkan semula peluang mereka dalam kempen kali ini.
Foto kredit - JST