ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah berpeluang bertemu dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pejabat Yayasan Bukhary, Kuala Lumpur bagi membincangkan perkembangan pembangunan negeri Kedah serta mendapatkan pandangan tokoh negarawan itu.
Menurut Dr. Haim Hilman, pertemuan bersama bekas Perdana Menteri itu memberi banyak panduan berharga yang boleh dijadikan asas dalam meneruskan agenda pembangunan negeri dan bangsa.
“Tun berkongsi nasihat yang sangat mendalam dan bernas. Antaranya, beliau menegaskan bahawa orang Melayu perlu beralih kepada bidang pembangunan dan eksploitasi aset, bukan sekadar menjadi pengguna.
“Tanah dan segala sumber dalamnya perlu diterokai dengan ilmu dan kemahiran agar dapat menghasilkan produk yang mampu menembusi pasaran,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Jelasnya merangkap Exco Kerajaan Negeri Kedah, Tun Dr Mahathir turut menasihatkan agar setiap keputusan pemimpin dibuat berdasarkan kajian dan pertimbangan mendalam serta tidak takut mengambil risiko jika berpotensi membawa kejayaan.
“Namun, jika sesuatu perkara didapati sukar dilaksanakan, jangan berani secara membuta tuli. Untuk berjaya, kita mesti berani melangkah apabila yakin dan berilmu,” katanya.
Dr. Haim Hilman menyifatkan nasihat tersebut sebagai panduan penting dalam memperkukuh dasar pembangunan negeri Kedah melalui kekuatan ilmu, industri dan keberanian strategik. - DETIK MALAYSIA