PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan perbincangan melalui panggilan telefon dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berhubung perkembangan terkini usaha damai susulan insiden di sempadan kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata, kedua-dua pemimpin berkenaan memberikan maklum balas positif serta menegaskan komitmen untuk mencari penyelesaian aman, selaras dengan perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
Anwar turut menegaskan pendirian Malaysia yang mahu melihat hubungan persahabatan dan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand terus diperkukuh, sejajar persefahaman yang dimeterai di Kuala Lumpur hujung bulan lalu.
Menurutnya, Malaysia kekal bersedia memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam merintis jalan damai tersebut demi memastikan kestabilan serantau.
“Kedua-dua Perdana Menteri turut menyampaikan penghargaan terhadap pendirian Malaysia dan peranan yang kita galas, bukan sahaja selaku Pengerusi ASEAN, tetapi sebagai sahabat serta jiran serantau yang mahukan keamanan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.
Beliau berharap kedua-dua negara terus menunjukkan kesungguhan dan keberanian untuk mengembalikan kestabilan di perbatasan demi keamanan yang berkekalan serta keselamatan rakyat masing-masing. - DETIK MALAYSIA