KUALA LUMPUR – “Alin… abah rindu Alin.” Itu luahan pilu seorang bapa, Wan Nasrul Hakim Wan Muhammad, 49, yang kehilangan anak perempuan tersayang, Wan Adlin Nadhilah, 23, dalam kemalangan tragis pada 15 November lalu.
Dalam hantaran di Facebook, beliau berkongsi saat-saat terakhir bersama anaknya yang mesra dipanggil Alin, yang sepatutnya menerima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan pada majlis konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 24 November ini.
Menurutnya, gambar selfie terakhir mereka dirakam pada 13 November ketika dalam perjalanan pulang ke Mentakab selepas mengambil jubah konvokesyen di UKM.
“Dia memang suka memandu sejak kecil. Dalam perjalanan itu, bila nampak dia tak tidur seperti biasa, saya tahu dia tunggu saya suruh dia memandu. Saya benarkan dia memandu dari Tol Karak ke Mentakab… seronok saya waktu itu,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Wan Nasrul berkata, pada hari kejadian, Alin tidak mengikutnya ke Balok, Kuantan kerana mempunyai sesi bergambar pra-konvokesyen bersama adik beradik dan sepupu.
Namun, kira-kira pukul 5.54 petang Sabtu, beliau menerima panggilan bahawa kereta Volkswagen Polo dipandu adiknya, Noni, yang turut membawa Alin, anak ketiganya dikenali sebagai Baby, dan rakan mereka, Kak Zana, terlibat dalam kemalangan.
“Pada 6.12 petang, adik lelaki saya, Ustaz Wan Saiful, telefon dan beritahu Alin sudah tiada. Katanya, wajahnya elok… seolah-olah tidak cedera,” katanya.
Beliau berkata, berita itu menyebabkan dirinya, isteri dan anak keempat, Yusuf, tidak mampu berdiri menahan kesedihan.
“Saya tarik tangan isteri, peluk dia dan Yusuf… kami menangis. Isteri terduduk dan menangis terbaring di lantai, Yusuf menangis sambil menendang kaki. Saya baru sedar saya sebenarnya lemah,” katanya.
Menurut Wan Nasrul, keadaan kecoh dan pilu itu berlarutan lebih dua jam sebelum beliau mampu memaklumkan berita kepada anak sulungnya, Aishah, yang ketika itu berada di utara.
Perjalanan ke Unit Forensik Hospital Temerloh pula dirasakannya sangat panjang, dengan isterinya menangis tanpa henti sepanjang jalan.
“Bedah siasat belum siap. Baby patah tulang rusuk dan luka di kepala, tetapi keadaannya stabil. Doktor beritahu Alin tiada kecederaan luaran, cuma hentakan kuat di kepala menyebabkan kecederaan otak,” katanya.
Jenazah Alin dibawa pulang ke rumah ibu bapanya di Mentakab pada tengah malam. Wan Nasrul berkata, pada pukul 4 pagi, beliau membuka kain penutup wajah anaknya sebelum mencium dahinya sambil menangis seperti anak kecil.
Pada pagi Ahad, 16 November, jenazah dimandikan sekitar pukul 11 pagi sebelum beliau sendiri mengimamkan solat jenazah, sesuatu yang tidak pernah terlintas akan dilakukan untuk anaknya.
Dalam hantaran itu, Wan Nasrul turut memohon maaf bagi pihak arwah anaknya jika pernah menyakiti sesiapa serta meminta agar sebarang hutang dimaklumkan kepadanya untuk diselesaikan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pasukan bomba, polis, hospital, doktor, jururawat, saudara mara, jiran serta rakan-rakan yang hadir memberi sokongan.
“Hanya Allah dapat membalas jasa kalian. Alin… abah rindu Alin,” tulisnya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Ihsan Wan Nasrul Hakim Wan Muhammad