SYDNEY – Gandingan beregu campuran No. 1 dunia, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei meneruskan momentum cemerlang apabila melangkah ke final Terbuka Australia 2025 selepas mempamerkan aksi penuh yakin di Olympic Park, hari ini.
Dalam aksi separuh akhir di Olympic Boulevard, pasangan negara itu mudah menundukkan lawan dari Thailand, Pakkapon Teeraratsakul–Sapsiree Taerattanachai, dengan kemenangan straight set 21-16, 21-14.
Turun selaku pilihan utama dan juara dunia, Chen–Ee Wei tidak goyah meskipun ketinggalan pada awal permainan pertama. Mereka bangkit dengan tenang, mempamerkan corak permainan matang sebelum menutup set pembukaan dengan bergaya.
Memasuki set kedua, pasangan negara itu bermula garang apabila mendahului 12-3. Bagaimanapun, pasangan Thailand bangkit memberi tentangan sehingga menyamakan kedudukan 13-13.
Namun, Chen–Ee Wei kekal tenang, memperkemas pertahanan sebelum kembali menguasai perlawanan untuk mengesahkan kemenangan dalam tempoh 50 minit.
Pasangan negara itu bakal berentap dalam final esok menentang pemenang di antara Jafar Hidayatullah–Felisha Pasaribu dari Indonesia atau Ruttanapak Oupthong–Jhenicha Sudjaipraparat dari Thailand.
Kedua-dua pasangan lawan berada dalam prestasi terbaik, namun Chen–Ee Wei dilihat memiliki kelebihan berdasarkan rentak semasa dan keyakinan sebagai regu nombor satu dunia. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit- AFP