PULAU PINANG – Selangor FC mempamerkan aksi bertenaga untuk membenam Penang FC 5-1 dalam aksi Liga Super Malaysia 2025/26 yang dicemari insiden gangguan lampu limpah di Stadium Bandaraya, di sini malam tadi.
Biarpun perlawanan terganggu dengan beberapa kali kegagalan lampu limpah sehingga memaksa permainan dihentikan lebih 15 minit, skuad Red Giants kekal tenang sebelum menghukum kealpaan tuan rumah.
Selangor tampil dengan kesebelasan utama diketuai kapten, Faisal Halim manakala Sikh Izhan Rosdi mengawal gawang, sementara penyerang import Brazil, Chrigor Moraes menjadi taruhan utama di jentera serangan.
Tuan rumah bermula positif menerusi gandingan Tchetche Kipre dan Wenzel-Halls yang beberapa kali menguji benteng pelawat, namun Selangor akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-26 apabila Faisal melepaskan rembatan kencang menewaskan Ramadhan Hamid.
Permainan sekali lagi terganggu akibat masalah lampu limpah sebelum pengadil mengumumkan tambahan masa luar biasa selama 28 minit bagi melengkapkan babak pertama.
Pada minit ke-45+5, rembatan deras Faisal sekadar menggegar palang gol sebelum Picha Autra pantas menyambar bola muntah untuk jaringan kedua Selangor.
Enam minit kemudian, hantaran tepat Faisal disudahkan Chrigor untuk menjadikan kedudukan 3-0, namun Penang akhirnya merapatkan jurang menerusi jaringan lengkung Tchetche Kipre pada minit ke-45+18, sebelum separuh masa berakhir 3-1.
Memasuki babak kedua, Selangor kembali dengan tempo lebih agresif apabila Chrigor sekali lagi mencetak nama selaku penjaring untuk gol keempat pasukan.
Penyerang berusia 30 tahun itu melengkapkan hatrik menerusi penyudah tenang, sekali gus memastikan jaringan kelima Selangor dan memadam sebarang peluang kebangkitan Penang.
Percubaan lewat Harimau Kumbang gagal membuahkan hasil apabila Sikh Izhan dan barisan pertahanan diketuai Safuwan Baharudin serta Sharul Nazeem kekal kebal sehingga wisel penamat.
Kemenangan bergaya itu membolehkan Selangor kekal di kedudukan keempat liga, terus memberi tekanan kepada tiga pasukan teratas, manakala Penang FC terus terperosok di dasar liga selepas 11 perlawanan.
Foto kredit - SFC