NAKHON PATHOM, Thailand – Saingan Chinlone secara rasmi membuka tirai acara Sepaktakraw & Chinlone Sukan SEA ke-33 pagi ini, menyaksikan Myanmar tampil bergaya manakala Malaysia menaruh harapan tinggi untuk kembali berada di podium kejayaan.
Kemboja yang menarik diri pada saat akhir seperti dimaklumkan dalam mesyuarat pengurus pasukan semalam menyaksikan Thailand diberikan kemenangan walkover 3–0 tanpa turun beraksi, sekali gus membuka laluan mudah buat tuan rumah dalam pusingan awal.
Myanmar yang muncul juara bertahan tidak berdepan banyak tentangan apabila menumpaskan Laos 3–0 dalam aksi dinamik, mengukuhkan status mereka sebagai pilihan utama mengekalkan emas acara berpasukan.
Hari pertama pertandingan hanya membabitkan aksi tapisan sebelum final acara berpasukan dijadualkan berlangsung tengahari esok yang bakal menobatkan pemilik pingat pertama bagi sukan Chinlone di temasya kali ini.
Malaysia yang bakal turun dalam dua perlawanan penting pada sesi petang dilihat membawa keyakinan baharu, lebih-lebih lagi dengan rekod kemenangan emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Menurut salah seorang pegawai teknikal negara, keyakinan itu bukan sekadar harapan kosong.
“Malaysia mempunyai sejarah yang kuat dalam Chinlone. Kami yakin atlet negara berpotensi membawa pulang pingat,” katanya ketika ditemui selepas sesi pemanas badan di venue pertandingan.
Dengan format pertandingan padat serta laluan ke final ditentukan dalam tempoh kurang 24 jam, skuad negara dijangka turun dengan strategi agresif bagi mengelak risiko perlawanan penentuan yang boleh merumitkan kemaraan.
Malaysia juga disebut antara pasukan yang menunjukkan peningkatan dalam sesi latihan sejak tiba di Thailand, sekali gus menghidupkan harapan untuk kembali mengibarkan Jalur Gemilang di pentas Chinlone. - DETIK MALAYSIA
Kredit foto - Persatuan Sepaktakraw Malaysia – PSM