KAJANG – Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa, Nur Alina Abdullah, kira-kira pukul 12.40 tengah hari semalam di Balai Polis Batu 9 Cheras.
Menurutnya, laporan dibuat selepas remaja berkenaan dilihat kali terakhir di Jalan Harmoni Indah 1, Taman Harmoni Indah, Seri Kembangan pada 20 September lalu sekitar pukul 4.15 petang.
“Mangsa berbangsa India mempunyai fizikal kurus dan tinggi lebih kurang 160 sentimeter. Ketika kejadian, dia memakai tudung hitam, cardigan hitam, T-shirt merah dan seluar panjang hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan Nur Alina untuk tampil membantu siasatan.
“Mereka boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222 atau terus menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Mastura Mat di talian 011-26259679,” katanya. - DETIK MALAYSIA