KUALA TERENGGANU – Kelab Wartawan dan Media Terengganu (KAWAT) mengadakan program Sembang Santai dan Ramah Mesra bersama kepimpinan Homestay Teluk Ketapang serta Ahli Lembaga Koperasi Homestay Teluk Ketapang (KHTK) di Restoran Sri Aman CFood, Jalan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini baru-baru ini.
Pertemuan itu memberi fokus kepada perbincangan berkaitan geran pelancongan termasuk Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) yang boleh dimanfaatkan oleh ahli KAWAT.
Selain itu, kerjasama melibatkan program pengantarabangsaan turut disentuh bagi membuka peluang kepada kedua-dua pihak dalam memperluaskan jaringan serta manfaat kepada ahli.
Dalam pertemuan tersebut, KHTK turut bersetuju menjemput KAWAT untuk bersama sebagai penganjur beberapa program antarabangsa berkaitan pelancongan dan pendidikan.
Antaranya ialah program IMT GT Olympiad Championship & Sustainable Tourism Workshop yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 20 Ogos 2026 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah rendah.
Selain itu, Pacific Asia Olympiad Championship & Sustainable Tourism Workshop turut dijadual diadakan pada 7 hingga 10 September 2026 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
KHTK juga merancang penganjuran program Familiarization Trip (Fam Trip) selama tiga hari dua malam pada Oktober depan yang dijangka melibatkan ejen pelancongan, pengamal media, YouTuber, blogger serta pengusaha homestay dari luar negara.
Pada masa sama, KHTK bersetuju untuk bekerjasama dengan KAWAT dalam menyelaras program berkaitan pelancongan dan promosi negeri Terengganu.
Malah, KAWAT turut dijemput menghadiri mesyuarat bersama Jabatan Pendidikan Wilayah Pattani dan Narathiwat termasuk pertemuan bersama media Pattani bagi mempromosikan program edu-pelancongan.
Kedua-dua pihak berharap kerjasama dan pertukaran pandangan yang dijalinkan itu mampu memberi manfaat kepada ahli selain memperkukuh sektor pelancongan serta media di Terengganu. – DETIK MALAYSIA