Afiq Fazail
ISKANDAR PUTERI – Tonggak tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail terus membuktikan kesetiaannya apabila sah melanjutkan kontrak bersama skuad Harimau Selatan selama dua musim lagi.
Perkembangan itu hadir selepas pemain berusia 31 tahun tersebut mencipta sejarah baharu bersama kelab gergasi tanah air itu pada musim 2025/26 apabila muncul pemain dengan penampilan terbanyak dalam sejarah JDT.
Afiq mencatat penampilan ke-272 ketika membantu JDT menewaskan Kuching City FC pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil sekali gus memadam rekod lama milik legenda kelab, Safiq Rahim yang membuat 270 penampilan.
Pencapaian tersebut sekali lagi mengukuhkan status Afiq sebagai antara pemain paling konsisten dan berpengaruh sejak menyertai JDT pada Januari 2017.
Malah, pemain kelahiran Pulau Pinang itu turut mencipta satu lagi rekod tersendiri apabila menjadi pemain pertama JDT beraksi dalam tujuh final Piala Malaysia sepanjang bersama Harimau Selatan.
Sepanjang bersama juara Liga Super itu, Afiq dikenali sebagai pemain tengah yang memiliki ketenangan tinggi, bijak mengawal tempo permainan selain mempunyai kualiti hantaran serta kepimpinan yang cukup penting di bahagian tengah pasukan.
Kehadirannya juga memainkan peranan besar dalam membantu JDT mendominasi saingan domestik selain meningkatkan reputasi kelab di pentas Asia.
Sambungan kontrak itu pastinya memberi kelegaan kepada pengendali JDT, Xisco Muñoz yang bakal mengharungi jadual padat musim depan melibatkan Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Juara-Juara Asia Elite.
Pengalaman luas dimiliki Afiq turut dianggap elemen penting dalam memastikan kestabilan skuad yang dibarisi gabungan pemain tempatan berkualiti dan import berprofil tinggi.
Keputusan JDT mengekalkan khidmat pemain berpengalaman itu jelas membuktikan komitmen kelab untuk terus mengekalkan budaya kemenangan selain membina kekuatan bagi menghadapi cabaran masa depan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST