Persatuan Sepaktakraw Malaysi
KUALA LUMPUR – Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) secara rasmi mengemukakan aduan kepada International Sepaktakraw Federation (ISTAF) susulan kontroversi yang berlaku ketika final acara berpasukan lelaki antara Malaysia dan Thailand pada Kejohanan Piala Dunia Sepaktakraw ISTAF Kuala Lumpur 2026.
Menerusi surat rasmi bertarikh 24 Mei 2026, Setiausaha Agung PSM, Abidullah Haji Salleh melahirkan kebimbangan serius terhadap tindakan beberapa pegawai kanan Thailand ketika aksi final berlangsung di Stadium Titiwangsa pada 23 Mei lalu.
Menurut PSM, insiden tercetus ketika regu ketiga berlangsung selepas keputusan pengadil mengundang kekecohan di tepi gelanggang.
PSM mendakwa tiga pegawai Thailand yang dikatakan tidak tersenarai secara rasmi dalam pendaftaran pasukan serta senarai rasmi perlawanan telah memasuki kawasan bangku simpanan pasukan Thailand ketika perlawanan masih berlangsung.
Tiga individu yang dinamakan dalam aduan tersebut ialah Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand, Thana Chaiprasit, Setiausaha Agung badan itu, Srihasak Arirachakaran serta bekas pengurus pasukan Thailand, Piroj Archaroongroj.
Dalam kenyataan tersebut, PSM menyifatkan kehadiran serta tindakan pegawai terbabit dilihat menambah ketegangan situasi berbanding membantu meredakan keadaan dan menggalakkan pemain Thailand meneruskan perlawanan mengikut peraturan ISTAF.
PSM turut melahirkan rasa kecewa apabila pegawai kanan Thailand didakwa gagal menunjukkan kepimpinan serta semangat kesukanan dengan menggesa pemain menghormati keputusan pengadil dan meneruskan aksi final berkenaan.
Sebaliknya, situasi itu dikatakan semakin tegang sebelum pasukan Thailand bertindak meninggalkan perlawanan sekali gus mencetuskan kontroversi besar dalam kejohanan tersebut.
Menurut PSM, sebarang rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadilan sepatutnya disalurkan menerusi saluran bantahan rasmi seperti termaktub dalam peraturan ISTAF dan bukannya dengan enggan meneruskan perlawanan.
PSM turut menegaskan insiden itu berpotensi menjejaskan imej serta kredibiliti sukan sepak takraw di pentas antarabangsa memandangkan Piala Dunia Kuala Lumpur 2026 merupakan antara kejohanan terbesar pernah dianjurkan ISTAF dengan liputan siaran global serta penglibatan ramai penaja korporat.
Dalam masa sama, PSM memaklumkan Malaysia sebagai tuan rumah telah melaburkan pelbagai sumber termasuk aspek operasi, penajaan, penyiaran dan pengurusan acara antarabangsa bagi memastikan kejohanan berjalan lancar.
Susulan itu, PSM meminta ISTAF meneliti semula tindakan serta penglibatan pegawai Thailand yang dinamakan dalam aduan tersebut sebelum menentukan sama ada siasatan lanjut atau tindakan disiplin perlu diambil mengikut peraturan badan dunia berkenaan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – PSM