KUALA LUMPUR – Hasrat Kuching City FC untuk mengukuhkan cengkaman di tangga kedua Liga Super Malaysia tidak kesampaian apabila diikat 1-1 oleh Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam aksi sengit di Stadium KLFA, Cheras, malam tadi.
Pasukan pelawat terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-31 menerusi penyudah tenang Ronald Ngah Wanja yang memanfaatkan hantaran tepat Ramadhan Saifullah Usman, sekali gus memberikan kelebihan kepada Kuching City menjelang rehat.
Bagaimanapun, KL City bangkit menunjukkan semangat juang tinggi di laman sendiri apabila Safawi Rasid tampil menyelamatkan maruah pasukan dengan jaringan penyamaan tepat sebelum tamat separuh masa pertama, sekali gus menghidupkan kembali perlawanan.
Kedua-dua pasukan saling mengatur serangan pada babak kedua dalam usaha memburu gol kemenangan, namun kekentalan barisan pertahanan serta kegagalan menyudahkan peluang memastikan keputusan kekal sehingga wisel penamat.
Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan kini mengumpul 25 mata, namun Kuching City kekal di tangga kedua liga hasil perbezaan jaringan yang lebih baik, manakala KL City terus memberi tekanan rapat di belakang.
Selepas ini, KL City dijadualkan melayan kunjungan Imigresen FC, manakala Kuching City berdepan cabaran getir apabila bertandang menentang Kelantan The Real Warriors dalam aksi seterusnya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit -KL City