KUALA LUMPUR - Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terbakar selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga buah kenderaan di Lebuh Raya Duke dari arah Duta menghala ke Ampang, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.28 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati SUV yang dipandu lelaki tempatan berusia 38 tahun telah melanggar sebuah kereta jenis sedan dari arah belakang ketika bergerak di lorong tengah.
“Akibat perlanggaran, SUV itu hilang kawalan sebelum terbabas ke pembahagi jalan dan terbakar.
“Keadaan jalan ketika kejadian adalah rata dan kering dengan aliran trafik sederhana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kemalangan itu turut melibatkan dua lagi pemandu lelaki tempatan masing-masing berusia 69 tahun dan 21 tahun namun tidak mengalami kecederaan.
"Pemandu SUV mengalami sakit di bahagian dada dan menerima rawatan lanjut.
"Ujian EBA untuk mengesan kandungan alkohol terhadap pemandu SUV turut dijalankan dan keputusan didapati negatif dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. -DETIK MALAYSIA