KUALA LUMPUR – Rakyat Amerika Syarikat digesa supaya bangkit menuntut perubahan terhadap apa yang disifatkan sebagai rejim imperialis Amerika Syarikat di bawah kepimpinan bekas Presiden, Donald Trump.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Amerika Syarikat kini berada di persimpangan penting yang bukan lagi berkaitan perbezaan politik atau dasar, sebaliknya melibatkan masa depan dan nilai sebenar republik itu.
Menurut beliau, kepimpinan Trump telah meletakkan Amerika Syarikat bukan sebagai sebuah negara demokrasi yang tertakluk kepada undang-undang dan kehendak rakyat, tetapi sebagai sebuah rejim yang digerakkan melalui paksaan, ugutan dan dominasi global.
“Keadaan ini bukan sahaja mengancam keamanan dunia, malah turut membahayakan masa depan Amerika sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmi mendakwa antara ciri jelas pendekatan imperialis itu termasuk ancaman terbuka terhadap negara berdaulat, penggunaan sekatan ekonomi yang menjejaskan orang awam, pengabaian undang-undang antarabangsa serta perlindungan tanpa syarat terhadap jenayah perang yang dilakukan oleh sekutu.
Selain itu, katanya, sentimen ketakutan, nasionalisme sempit dan penciptaan musuh luar turut digunakan bagi mengukuhkan kuasa politik di dalam negara.
“Ini bukan kekuatan, sebaliknya bahasa sebuah empayar yang sedang merosot,” katanya.
Menurut beliau, dasar imperialisme memberi kesan langsung kepada rakyat Amerika termasuk perbelanjaan ketenteraan berterusan sehingga mengabaikan kebajikan asas seperti kesihatan, pendidikan dan infrastruktur.
Katanya, beban hutang negara yang meningkat turut diwariskan kepada generasi masa depan, selain menyebabkan pengasingan antarabangsa yang melemahkan ekonomi dan mencederakan nilai moral negara yang diasaskan atas prinsip perlembagaan.
“Sejarah membuktikan empayar tidak runtuh kerana rakyat menentang terlalu kuat, tetapi kerana mereka terlalu lama berdiam diri,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Mapim menegaskan bahawa perubahan mesti bermula dari dalam negara itu sendiri melalui saluran sah dan demokrasi, sekiranya kepimpinan gagal mematuhi perlembagaan serta mengutamakan maruah kemanusiaan.
Beliau turut menyeru rakyat Amerika termasuk masyarakat sivil, pemimpin agama, akademik, veteran dan pekerja supaya menilai semula hala tuju negara mereka.
“Dunia tidak menginginkan kejatuhan Amerika Syarikat, sebaliknya mengharapkan sebuah negara yang menghormati undang-undang antarabangsa, menolak dominasi imperialis, menghargai nyawa manusia dan memimpin melalui keadilan, bukan kekerasan,” katanya.
Mohd Azmi menegaskan bahawa saat ini menuntut kejelasan moral kerana kuasa presiden bersifat imperialis boleh mengancam keamanan global serta kebebasan domestik.
“Sejarah akan mencatat siapa yang bersuara dan siapa yang memilih untuk terus diam,” katanya. - DETIK MALAYSIA
Kredit foto - Getty Images