SEPANG – Kejuaraan FIM Asia Road Racing Championship (ARRC) secara rasmi mengumumkan kalendar musim 2026, sekali gus menandakan satu lagi detik penting buat siri perlumbaan motosikal paling berprestij di Asia.
Musim baharu yang dijadual bermula pada April 2026 itu akan menampilkan enam pusingan di litar-litar utama Asia, selari dengan komitmen ARRC dalam memperkukuh perlumbaan bertaraf elit serta pembangunan bakat serantau.
Kempen 2026 akan dibuka dengan Ujian Rasmi di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang pada 8 April, sebelum diteruskan dengan Pusingan 1 di venue sama dari 10 hingga 12 April.
Saingan kemudiannya beralih ke Litar Antarabangsa Chang, Thailand bagi Pusingan 2 (8–10 Mei) sebelum menuju ke Mobility Resort Motegi, Jepun untuk Pusingan 3 (12–14 Jun).
Pusingan 4 masih belum ditetapkan (TBC), manakala ARRC kembali ke Sepang bagi Pusingan 5 pada 11 hingga 13 September.
Musim 2026 akan melabuhkan tirainya di Litar Antarabangsa Chang menerusi Pusingan 6 dari 4 hingga 6 Disember, yang dijangka menjadi penamat berintensiti tinggi buat kejuaraan berkenaan.
Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing, Ron Hogg, berkata perkembangan berterusan ARRC membuktikan impak positif kejuaraan itu di peringkat serantau.
“ARRC sentiasa berhasrat untuk memperluaskan pengaruhnya serta meningkatkan keterlihatan dalam komuniti Asia. Musim 2025 membuktikan usaha kolektif melalui kerjasama strategik, pembangunan pelumba dan penglibatan peminat membuahkan hasil yang bermakna,” katanya.
Beliau turut memaklumkan musim 2026 akan menyaksikan penstrukturan semula peraturan teknikal, bertujuan menjamin persaingan lebih seimbang selain meningkatkan tahap prestasi dalam semua kategori termasuk ASB1000, SS600, AP250 dan UB150.
Sementara itu, Presiden FIM Asia, Stephan Carapiet, mengakui musim lalu penuh cabaran namun memuji semangat kebersamaan komuniti ARRC.
“Musim 2025 bukan tanpa cabaran, namun ia menjadi satu lagi bab penting dalam perjalanan ARRC. Halangan yang dihadapi berjaya diubah menjadi pencapaian melalui kekuatan semangat kolektif,” katanya.
Beliau turut menyuarakan keyakinan tinggi terhadap musim 2026, sambil menegaskan misi berterusan ARRC untuk melahirkan bakat baharu serta mendorong pelumba dan pasukan sedia ada terus melangkah lebih jauh di pentas antarabangsa.
Dengan penggunaan litar familiar, motivasi baharu dan peraturan yang diperkemas, ARRC 2026 dijangka menghadirkan satu lagi musim penuh aksi dalam landskap sukan permotoran Asia. - DETIK MALAYSIA
Kredit foto - ARRC