HUTAN MELINTANG - Daerah Bagan Datuk terus melakar sejarah baharu apabila melangkah ke fasa pembangunan industri makanan halal berteknologi tinggi menerusi pelaksanaan Taman Industri QL Innofood Park di sini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek strategik yang dibangunkan oleh QL Foods Sdn. Bhd. itu membawa signifikan besar terhadap masa depan keterjaminan makanan negara serta pengukuhan ekosistem industri halal nasional.
Menurut beliau, pembangunan taman industri berkenaan bukan sahaja memperluas peranan QL Foods sebagai peneraju produk makanan berasaskan ikan seperti bebola ikan dan surimi, malah membuka dimensi baharu kepada industri makanan halal berteknologi tinggi.
“Saya menyambut baik langkah strategik QL Foods yang terus memperkukuh kedudukan industri makanan negara melalui pembangunan ekosistem halal yang lebih moden dan berdaya saing,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Taman Industri QL Innofood Park, di sini ini.
Ahmad Zahid berkata, projek tersebut dijangka mewujudkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi meliputi bidang teknologi makanan, automasi, logistik sejuk beku serta jaminan halal.
Tambah beliau, inisiatif itu turut membuka ruang lebih luas kepada penyertaan belia tempatan selari dengan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta keperluan industri masa hadapan.
“Sebagai anak jati Bagan Datuk, saya berasa bangga melihat daerah ini berkembang daripada kekuatan sektor pertanian dan perikanan kepada hab industri makanan halal berteknologi tinggi,” ujarnya.
Beliau yakin kerjasama erat antara kerajaan, pihak industri dan komuniti setempat mampu menjadikan pembangunan tersebut sebagai pemangkin kepada pertumbuhan luar bandar yang lebih seimbang, mampan dan berorientasikan masa hadapan. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - FB Zahid Hamidi