KAJANG – Seorang pelajar di sebuah pusat tahfiz di sini dilaporkan mengalami lebam dan bengkak pada kedua-dua belah tangan selepas dipercayai dipukul oleh rakan tempat belajarnya, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Nazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 11.28 pagi kelmarin.
Menurut beliau, mangsa mendakwa dipukul oleh tiga orang pelajar lain yang menuntut di pusat tahfiz sama.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 18 Januari lalu dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Muhammad Haniffa Abd. Rajk di talian 019-735 6544 bagi membantu siasatan. – DETIK MALAYSIA