PETALING JAYA – Aksi cemerlang kapten pasukan, Faisal Halim memastikan Selangor FC meraih kemenangan penting apabila menewaskan kelab Vietnam, Cong An Hanoi (CAHN) 2-0 dalam perlawanan keempat Kumpulan A Shopee Cup 2025/26 di Stadium MBPJ, malam tadi.
Dua jaringan pada babak kedua oleh Faisal membolehkan Red Giants mengutip tiga mata berharga sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka dalam saingan peringkat kumpulan.
Pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi memberi kepercayaan kepada Kalamullah Al-Hafiz untuk mengawal gawang, manakala Faisal mengetuai pasukan sebagai kapten dengan penyerang import Brazil, Chrigor Moraes, mengetuai jentera serangan.
CAHN pula mempertaruhkan penjaga gol kebangsaan Vietnam, Nguyen Filip, sementara penyerang berbahaya Alan Grafite menjadi sandaran utama pasukan pelawat.
Selangor bermula agresif dengan sokongan padu penyokong tuan rumah apabila gandingan Hugo Boumous dan Chrigor kerap menguji benteng pertahanan lawan, namun beberapa percubaan awal gagal menemui sasaran.
CAHN tidak berdiam diri apabila Grafite serta pemain tengah kreatif, Nguyen Quang Hai, mula mengatur serangan balas berbahaya.
Kedua-dua pasukan bermain dengan tempo tinggi, namun peluang jelas agak terhad.
Chrigor hampir membuka jaringan pada minit ke-33 menerusi rembatan kencang, namun ditepis cemerlang oleh Nguyen Filip.
Kalamullah turut mencuri tumpuan apabila melakukan satu aksi menyelamat penting di penghujung babak pertama untuk memastikan kedudukan kekal tanpa jaringan.
Separuh masa pertama berakhir 0-0.
CAHN hampir mengejutkan tuan rumah seawal babak kedua melalui percubaan Bui Hoang, namun sekali lagi Kalamullah bertindak tangkas.
Selangor akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-60 apabila Faisal Halim menyempurnakan peluang dengan tenang untuk meletakkan tuan rumah di hadapan 1-0.
Chrigor hampir menggandakan kelebihan lima minit kemudian, namun rembatannya tersasar.
Faisal sekali lagi mencuri perhatian apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-69 hasil hantaran cantik Boumous, sekali gus memastikan kemenangan mutlak 2-0 buat Selangor.
Selangor terus mengasak pada baki perlawanan, namun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Kemenangan itu mengukuhkan momentum Selangor dalam Kumpulan A sekali gus meningkatkan keyakinan pasukan menjelang aksi-aksi penentuan Shopee Cup. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Selangor FC