LONDON – Legenda Manchester United, Ryan Giggs, dilaporkan pernah digugurkan secara senyap daripada senarai awal Hall of Fame Liga Perdana Inggeris susulan kes undang-undang yang melibatkan dirinya.
Menurut laporan The Telegraph, Giggs pada asalnya dirancang untuk disenaraikan bersama Alan Shearer sebagai kelompok pertama Hall of Fame pada 2020.
Namun, perancangan tersebut tertangguh akibat pandemik Covid-19 sebelum situasi menjadi rumit apabila bekas pemain Wales itu berdepan pertuduhan keganasan rumah tangga.
Susulan perkembangan berkenaan, pihak Liga Perdana Inggeris memilih untuk mencoret nama Giggs dan menggantikannya dengan Thierry Henry sebagai penerima awal bersama Shearer.
Kes melibatkan Giggs berakhir pada Julai 2023 selepas beliau dibebaskan daripada tuduhan berkelakuan mengawal apabila saksi utama menarik balik keterangan.
Walaupun tekanan semakin meningkat supaya namanya dipertimbangkan semula, sehingga kini Giggs masih belum disenaraikan dalam Hall of Fame meskipun beberapa legenda lain yang pernah terpalit isu undang-undang kekal menerima pengiktirafan.
Liga Perdana bagaimanapun menjelaskan pemilihan Hall of Fame dibuat berdasarkan keputusan panel khas, undian peminat serta penilaian tahunan merangkumi prestasi dan sumbangan pemain. – DETIK MALAYSIA