KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil pendekatan tegas dengan melancarkan Kempen Anti Dadah dan Anti Gangsterisme dalam bola sepak tempatan sebagai usaha membanteras gejala negatif yang boleh menjejaskan imej serta integriti Liga Malaysia.
MFL dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa badan pengendali liga itu memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan dadah, keganasan dan aktiviti gangsterisme yang semakin mencemar suasana bola sepak negara.
Menurut MFL, kempen menyeluruh tersebut akan dilaksanakan merangkumi semua pertandingan di bawah kelolaannya, termasuk Liga Super, Liga Premier dan Piala Malaysia.
“Pelancaran kempen ini bertujuan memberi pendidikan dan kesedaran kepada komuniti bola sepak, khususnya penyokong agar tidak terjebak dengan gejala tidak sihat yang bertentangan dengan semangat kesukanan,” jelas kenyataan itu.
MFL menegaskan bahawa budaya dadah, keganasan dan gangsterisme tidak mempunyai tempat dalam bola sepak tempatan dan perlu dibanteras secara bersepadu.
Dalam masa sama, MFL turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan bagi memastikan Liga Malaysia terus berkembang dalam persekitaran yang positif, selamat dan berintegriti.
Badan itu yakin bahawa melalui kerjasama semua pihak, bola sepak tempatan mampu menjadi platform perpaduan dan hiburan yang sihat untuk seluruh rakyat. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MFL