SHAH ALAM – Selangor FC tampil dengan kenyataan rasmi menzahirkan rasa kesal yang mendalam susulan insiden membabitkan sebilangan kecil penyokong pasukan itu di sekitar Jambatan Angkat Kuala Terengganu menjelang aksi Liga Super Malaysia 2025/26 menentang Terengganu FC, Sabtu lalu.
Kelab Red Giants itu mengesahkan kejadian tersebut berlaku di lokasi berkenaan dan menegaskan bahawa tingkah laku tidak bertanggungjawab itu sama sekali tidak mencerminkan nilai serta identiti sebenar Selangor FC mahupun komuniti penyokongnya.
Dalam kenyataan tersebut, Selangor FC turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu atas tindakan pantas dan tegas mereka dalam mengawal keadaan serta memastikan keselamatan awam terjamin.
Kelab itu mengakui kepentingan peranan pihak berkuasa terutama pada hari perlawanan besar yang melibatkan kehadiran penyokong dari luar negeri.
Selangor FC menegaskan bahawa mereka mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk perlakuan yang melanggar undang-undang atau mengancam keselamatan orang ramai.
Menurut kenyataan itu, tindakan sedemikian jelas bercanggah dengan prinsip hormat-menghormati, perpaduan dan tanggungjawab yang menjadi teras budaya kelab, baik di dalam mahupun di luar padang.
Red Giants berpandangan bahawa insiden ini perlu dijadikan peringatan penting mengenai tanggungjawab bersama semua pihak dalam ekosistem bola sepak Malaysia.
Sehubungan itu, Selangor FC menyeru penyokong supaya terus memupuk semangat saling menghormati dan perpaduan bagi mewujudkan budaya sokongan bola sepak yang lebih sihat dan positif di seluruh negara.
Kelab tersebut turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan komuniti penyokong serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa demi memastikan perlawanan tempatan kekal selamat, menarik dan mesra untuk semua. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Selangor FC