SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menzahirkan rasa amat dukacita dan murka terhadap sekumpulan individu yang mendakwa sebagai penyokong Selangor FC susulan insiden kekacauan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Sabtu lalu.
Kenyataan diraja itu dibuat selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu menahan 33 individu berhubung kekecohan membabitkan suar serta bahan terlarang pada 1 Februari 2026.
Sebagai Penaung Diraja Selangor FC, Sultan Sharafuddin menegur keras budaya samseng dan hooliganisme yang semakin menular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya mereka yang memakai jersi Red Giants.
Baginda bertitah bahawa pemakaian warna kebanggaan Selangor FC bukan sekadar simbol sokongan, sebaliknya membawa tanggungjawab besar untuk menjaga imej kelab dan maruah negeri Selangor.
Sultan Selangor turut menggesa PDRM supaya mengenal pasti dalang di sebalik insiden tersebut dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi.
Baginda menegaskan bahawa mereka yang didapati bersalah wajar dikenakan hukuman maksimum sebagai pengajaran, bukan sahaja kepada pelaku tetapi juga kepada penyokong lain agar tidak mengulangi perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
Lebih tegas, Sultan Sharafuddin mencadangkan agar mana-mana penyokong yang disabitkan kesalahan kerana mencetuskan kekacauan awam atau terlibat dalam kegiatan jenayah dikenakan larangan seumur hidup daripada memasuki mana-mana stadium bagi perlawanan membabitkan Selangor FC.
Mengakhiri titahnya, Baginda menyeru seluruh penyokong Red Giants supaya mengawal diri, berdisiplin dan menyokong pasukan dengan cara yang bermaruah, bukannya melalui keganasan dan kekacauan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Selangor FC