KUALA LUMPUR – Pemulangan RM8.5 bilion hasil rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencerminkan kejayaan penguatkuasaan, namun pada masa sama mendedahkan skala rasuah yang serius dan bersifat sistemik.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, jumlah berkenaan membuktikan rasuah bukan lagi kes terpencil, sebaliknya telah berakar dalam projek berskala besar, perolehan awam, pemberian lesen, kelulusan serta urus tadbir pentadbiran.
“RM8.5 bilion bukan angka kecil dan ia perlu dilihat sebagai amaran keras, bukannya alasan untuk berasa selesa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, wang rampasan hasil rasuah tidak wajar diserap ke dalam perbelanjaan biasa tanpa ketelusan khusus, sebaliknya perlu disalurkan secara jelas kepada sektor pendidikan integriti, kesihatan awam, projek rakyat berimpak tinggi serta dana khas pencegahan rasuah.
MCW turut menggesa laporan awam berkala mengenai penggunaan wang rampasan, pemantauan bebas oleh Parlimen dan masyarakat sivil serta tindakan tegas tanpa pilih kasih, termasuk terhadap pegawai kanan dan golongan elit.
“Tanpa ketelusan dan hukuman tegas, kejayaan penguatkuasaan akan hilang kredibiliti,” tegasnya.
Terdahulu, media melaporkan pelbagai langkah penguatkuasaan SPRM berjaya mengembalikan semula RM8.5 bilion hasil negara sepanjang tahun 2025.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, kejayaan itu dicapai menerusi pembekuan akaun dan sitaan aset bernilai RM6.95 bilion, penyelesaian RM1.5 bilion, kompaun RM49.7 juta serta lucut hak RM8.1 juta. – DETIK MALAYSIA