KUALA TERENGGANU – Seramai 33 penyokong Selangor FC direman hari ini bagi membantu siasatan berhubung kekecohan yang dicetuskan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu semalam.
Perintah reman berkenaan dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu berlaku sebelum perlawanan Liga Super melibatkan Terengganu FC (TFC) menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mereka antara kira-kira 400 penyokong yang ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu malam tadi bagi menjalani pemeriksaan saringan air kencing.
Menurutnya, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin dijadual mengadakan sidang media berhubung perkembangan lanjut kes itu pada pukul 2.30 petang ini.
Terdahulu, tular beberapa rakaman video di media sosial memaparkan sekumpulan penyokong Selangor FC berarak sambil membawa bendera pasukan dari arah bandar raya menuju ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebelum menyalakan suar ketika berada di tengah jambatan berkenaan.
Sementara itu, dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Selangor FC berjaya menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 1-1 menentang TFC melalui jaringan kapten mereka, Faisal Halim, manakala gol TFC dijaringkan oleh Careca. – DETIK MALAYSIA