SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim ) mengecam keras pengumuman inisiatif ‘Board of Peace’ oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang disifatkan sebagai konstruk politik berbahaya kerana bukan membawa keamanan, sebaliknya menginstitusikan penjajahan, ketidakadilan dan dominasi berterusan ke atas rakyat Palestin.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, inisiatif berkenaan tidak direka untuk menamatkan pendudukan Israel, malah bertujuan melegitimasikannya dengan membungkus kawalan dan perampasan hak di sebalik bahasa diplomasi serta keselamatan.
“Keamanan tidak boleh dibina di atas runtuhan Gaza. Keamanan tidak boleh dirunding di atas kubur besar-besaran. Keamanan tidak boleh didikte oleh pihak yang mempersenjatai penjajah dan melindungi jenayah perang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mapim, struktur ‘Board of Peace’ itu tidak mempunyai legitimasi kerana menafikan hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin, mengecualikan mereka sebagai subjek politik setara, menghalalkan kecurian wilayah dan peluasan penempatan haram, serta menutup kebertanggungjawaban Israel melalui perlindungan politik dengan mengetepikan undang-undang antarabangsa.
“Ini bukan proses damai, sebaliknya sistem pengurusan untuk dominasi. Keamanan tanpa keadilan adalah satu pembohongan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Mapim menggesa United Nations dan badan perundangan antarabangsa menolak sebarang penyelesaian yang dipaksakan, negara-negara Islam serta Global South menolak penyertaan dalam apa yang disifatkan sebagai penipuan politik, selain masyarakat sivil dan gerakan berasaskan keimanan di seluruh dunia bangkit mempertahankan keadilan dan akauntabiliti.
“Keamanan bukanlah berdiam diri. Keamanan ialah keadilan, maruah dan kebebasan. Masa depan Palestin mesti ditentukan oleh rakyat Palestin sendiri, bukan empayar dan penjajah,” katanya. – DETIK MALAYSIA