MILAN – Perlawanan Serie A antara Cremonese dan Inter Milan di Stadium Giovanni Zini, Cremona, awal pagi Isnin dicemari insiden tidak diingini apabila penjaga gol tuan rumah, Emil Audero, menjadi mangsa lemparan flare dari arah penyokong pelawat.
Kejadian berlaku pada minit ke-59 ketika Inter mendahului perlawanan. Flare yang dilempar dari belakang gawang meletup berhampiran Audero sebelum mengenai kakinya, menyebabkan kecederaan ringan berupa kesan melecur.
Insiden itu memaksa perlawanan dihentikan sementara apabila asap tebal menyelubungi kawasan penalti.
Menurut laporan media Itali, tribun berkenaan dipenuhi penyokong Inter. Audero bagaimanapun menunjukkan tahap profesionalisme tinggi apabila bangkit selepas menerima rawatan ringkas di tepi padang sebelum meneruskan permainan hingga tamat perlawanan.
Perlawanan akhirnya dimenangi Inter 2-0 hasil jaringan Lautaro Martinez dan Piotr Zieliński. Namun, keputusan tersebut tenggelam di sebalik kebimbangan serius terhadap aspek keselamatan pemain.
Perkembangan lanjut mendedahkan individu yang membaling flare itu mengalami kecederaan parah pada tangannya selepas cubaan melempar suar kedua, dengan tiga jari dilaporkan hancur akibat letupan. Media tempatan melaporkan suspek tampil mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Cremona sebelum dikenal pasti pihak berkuasa.
Presiden Inter Milan, Beppe Marotta, mengecam keras perbuatan berkenaan dan tampil memohon maaf kepada pihak Cremonese serta komuniti setempat. Beliau turut berharap pihak berkuasa tidak mengenakan hukuman kolektif terhadap keseluruhan penyokong Nerazzurri.
Insiden tersebut kembali mencetuskan perdebatan hangat mengenai tahap keselamatan stadium dan disiplin penyokong dalam saingan Serie A, dengan desakan agar tindakan tegas diambil bagi mengelakkan kejadian serupa berulang. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – LaPresse