KUALA LUMPUR – Seorang wanita nyaris menjadi mangsa samun apabila diserang seorang lelaki bermotosikal ketika sedang mengisi angin tayar di sebuah stesen minyak di kawasan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, pagi Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chan Hook mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 8.30 pagi Ahad daripada pengadu, seorang wanita berusia 25 tahun.
Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.10 pagi ketika pengadu bersama rakannya sedang mengisi angin tayar kenderaan di stesen minyak berkenaan.
āSeorang lelaki menaiki motosikal dipercayai telah menghampiri kenderaan mangsa sebelum cuba membuka pintu kereta untuk mengambil beg yang diletakkan di dalamnya.
āPengadu dan rakannya bertindak menghalang suspek, menyebabkan berlaku pergelutan. Dalam insiden itu, pengadu ditumbuk di bahagian tangan dan kepala oleh suspek,ā katanya dalam kenyataan hari ini.
Chan Hook berkata, suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal tanpa sempat melarikan sebarang barangan berharga atau wang tunai milik mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa risikan masih giat dijalankan memandangkan motosikal yang digunakan suspek dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.
āLakaran fotofit suspek yang dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan telah dibuat dan pihak polis sedang giat mengesan serta memburu suspek untuk tangkapan segera,ā ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Brickfields. – DETIK MALAYSIA
