SHAH ALAM – Sebarang cadangan atau pengaturan untuk membuka Lintasan Rafah hanya sebagai laluan keluar tanpa jaminan kepulangan ke Gaza dikecam mengecam sekeras-kerasnya dan langkah itu bukan bantuan kemanusiaan sebaliknya merupakan pemindahan paksa.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pendekatan tersebut secara praktikal menjadikan Rafah sebagai koridor sehala ke dalam buangan, sekali gus menafikan hak rakyat Palestin untuk kembali ke rumah, tanah dan masa depan mereka.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai mengulangi jenayah sejarah pengusiran besar-besaran dan kejuruteraan demografi terhadap rakyat Palestin.
“Pembukaan Rafah sebagai laluan keluar sahaja bukanlah perlindungan kemanusiaan, tetapi satu perangkap politik untuk mengosongkan Gaza daripada penduduk asalnya.
“Ia bukan soal menyelamatkan nyawa, tetapi usaha membentuk semula demografi, memadamkan identiti dan menghapuskan kewujudan sebuah bangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Azmi menegaskan bahawa pemindahan paksa orang awam dari wilayah yang diduduki adalah satu pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva Keempat (Artikel 49), Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa dan Undang-Undang Adat Antarabangsa.
Menurutnya, membuka Rafah sebagai laluan keluar sahaja boleh disifatkan sebagai hukuman kolektif dan pembersihan etnik berselindung di sebalik naratif koridor kemanusiaan.
Sebaliknya, beliau berkata, bantuan kemanusiaan sebenar mesti melibatkanKemasukan bantuan tanpa halangan, pemindahan perubatan dengan jaminan kepulangan, kebebasan pergerakan dua hala dan perlindungan antarabangsa di dalam Gaza.
Sehubungan itu, Mapim mengemukakan empat tuntutan utama iaitu Lintasan Rafah mesti dibuka dua hala dengan jaminan hak kembali, tiada sebarang bentuk perpindahan paksa atas alasan kemanusiaan, gencatan senjata segera dan perlindungan orang awam serta pemantauan antarabangsa di semua lintasan sempadan.
“Gaza bukan kem pelarian sementara. Rakyat Palestin bukan pelarian atas pilihan mereka sendiri. Mereka tidak akan dihapuskan,” tegasnya. – DETIK MALAYSIA