SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan MyChild International mengecam sekeras-kerasnya penahanan berterusan kanak-kanak Palestin oleh rejim pendudukan Israel, menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia.
Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, berdasarkan rekod, sekurang-kurangnya 700 kanak-kanak Palestin ditahan setiap tahun oleh tentera Israel, manakala lebih 350 kanak-kanak masih dipenjarakan ketika ini kebanyakannya tanpa pertuduhan rasmi atau perbicaraan yang adil.
Menurut beliau, kanak-kanak yang ditahan dilaporkan berdepan penderaan psikologi, layanan buruk fizikal serta penafian hak asas termasuk akses kepada peguam, sokongan keluarga dan pendidikan.
“Ini adalah kanak-kanak. Mereka bukan kombatan, bukan penjenayah. Mereka adalah mangsa sistem apartheid yang mengkriminalisasikan zaman kanak-kanak itu sendiri,” tegasnya dalam kenyataan bersama MAPIM dan MyChild International.
Kedua-dua badan itu menegaskan bahawa amalan penahanan tersebut jelas melanggar beberapa instrumen utama undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), Konvensyen Keempat Geneva damn Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR).
Dalam pada itu, Mapim dan MyChild turut mempersoalkan sikap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang didakwa hanya mengeluarkan kenyataan tanpa langkah tegas bagi menghentikan pelanggaran berterusan terhadap hak kanak-kanak Palestin.
“Berapa ramai lagi kanak-kanak perlu diambil dari rumah mereka pada waktu malam? Berapa ramai lagi perlu disoal siasat tanpa peguam atau ibu bapa? Berapa ramai lagi perlu membesar di sebalik jeriji besi sebelum dunia bertindak?” soal Mohd. Azmi.
Beliau menegaskan bahawa ‘diam bukanlah berkecuali, tetapi satu bentuk persetujuan tersirat’ terhadap ketidakadilan yang berlaku.
Sehubungan itu, Mapim dan MyChild mengemukakan empat tuntutan utama kepada masyarakat antarabangsa dan PBB, iaitu pembebasan segera semua kanak-kanak Palestin yang ditahan, siasatan bebas PBB terhadap amalan penahanan kanak-kanak, sekatan serta akauntabiliti undang-undang terhadap pelanggaran hak kanak-kanak dan mekanisme perlindungan antarabangsa khusus untuk kanak-kanak Palestin
Pengarah MyChild International, Aini Hazrin Ahmad Anuar pula menegaskan bahawa dunia tidak boleh mendakwa menjunjung nilai kemanusiaan jika terus membiarkan kanak-kanak dipenjara di bawah undang-undang ketenteraan.
“Keadilan yang ditangguhkan adalah keadilan yang dinafikan. Kebebasan Palestin bermula dengan kebebasan untuk kanak-kanaknya,” katanya.
Mapim dan MyChild menyeru masyarakat antarabangsa, badan hak asasi manusia serta negara-negara anggota PBB untuk mengambil tindakan konkrit, bukan sekadar kenyataan, bagi memastikan perlindungan sebenar terhadap kanak-kanak Palestin. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI