HULU SELANGOR – Seorang pemandu lori maut manakala puluhan lagi cedera selepas tiga kenderaan sebuah bas ekspres, lori 10 tan dan lori treler terlibat dalam kemalangan di Kilometer 433 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.12 pagi sebelum jentera pertama dari BBP Bukit Sentosa tiba di lokasi pada 5.21 pagi, kira-kira lapan kilometer dari balai.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres, lori bonded 10 tan dan sebuah lori treler.
“Di dalam bas terdapat 14 lelaki dewasa, lima wanita dewasa, tujuh kanak-kanak dan dua pemandu. Seorang pemandu bas lelaki berusia 39 tahun tersepit dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta kaki kiri. Beliau berjaya dikeluarkan pada jam 6.05 pagi,” katanya.
Ahmad Mukhlis berkata, tiga penumpang lelaki bas mengalami kecederaan ringan manakala seorang kanak-kanak perempuan mengalami pendarahan hidung namun dalam keadaan sedar. Kesemua mangsa diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).
Tambah beliau, pemandu lori bonded 10 tan, seorang lelaki tempatan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan KKM selepas tersepit dalam kenderaan. Kelindannya pula patah tulang rusuk dan dibawa ke hospital.
“Pemandu lori treler mengalami kecederaan di belakang tengkuk namun menolak untuk dibawa ke hospital,” jelasnya.
Operasi menyelamat diketuai PBK II Mohamad Izwan Razali dengan kekuatan 16 anggota daripada BBP Bukit Sentosa dan BBP Rawang menggunakan jentera LFRT, ERMS dan FRT. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Ihsan Bomba