KUALA LUMPUR – Bintang Muay Thai negara, Adam Rakib meneruskan kebangkitan cemerlang di pentas dunia apabila menewaskan wakil Maghribi, Walid Snoussi menerusi kemenangan kalah mati (KO) pada pusingan kedua dalam aksi ONE Friday Fights 141 di Stadium Lumpinee, Bangkok, semalam.
Sejak loceng pertama dibunyikan, Adam mempamerkan tekanan agresif dengan kombinasi tumbukan dan tendangan tepat yang menyukarkan Snoussi untuk mencari rentak. Lawannya kelihatan bergelut untuk mengimbangi kepantasan dan ketepatan pukulan jaguh Malaysia itu sepanjang pusingan pertama.
Penamat tiba pantas pada pusingan kedua apabila Adam melepaskan satu serangan padu yang menyebabkan Snoussi rebah ke kanvas. Pengadil menghentikan perlawanan serta-merta dan mengesahkan kemenangan KO memihak kepada Adam, sekali gus mencetuskan sorakan penyokong Malaysia di dalam stadium.
Kemenangan itu menyaksikan rekod profesional Adam meningkat kepada tiga kemenangan daripada empat penampilan di pentas ONE Championship. Sebelum ini, dia pernah berkongsi keputusan dengan petarung Perancis, Nahyan Mohammed.
Gelaran ‘pembunuh gergas’” Adam mula tercipta pada penampilan sulungnya apabila mengejutkan dunia dengan menewaskan juara dunia K1 Kickboxing dua kali dari Jepun, Toma Kuroda.
Dengan kemenangan bergaya ini, Adam menghantar amaran awal kepada divisyen Strawweight bahawa dia kini bersedia memburu kejuaraan dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ONE
