RATCHABURI – Ratchaburi FC meletakkan sebelah kaki ke pusingan seterusnya apabila menewaskan gergasi Indonesia, Persib Bandung 3-0 pada aksi pertama pusingan 16 terbaik AFC Champions League Two (ACL 2) 2025/26 di Stadium Ratchaburi, malam tadi.
Di bawah kendalian ketua jurulatih, Worawoot Srimaka, “The Dragons” mempamerkan taktikal serangan balas yang klinikal sehingga menyukarkan pasukan pelawat untuk mencari rentak permainan.
Tuan rumah hanya memerlukan lima minit untuk menggamatkan stadium apabila Denilson Junior memecah pertahanan Persib sebelum menghantar bola kepada Pedro Tana yang mudah menolak masuk dari jarak dekat bagi meletakkan Ratchaburi di hadapan 1-0.
Persib cuba bangkit dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-18 menerusi tandukan Frans Putros hasil hantaran lintang Uilliam Barros, namun bola sekadar melepasi palang. Walaupun menguasai sebahagian permainan, skuad “Maung Bandung” gagal menembusi pertahanan tersusun tuan rumah.
Pemain kebangsaan Malaysia, Daniel Ting sekali lagi membuktikan kepentingannya dalam kesebelasan utama Ratchaburi apabila cemerlang menyekat gerakan sayap Persib. Ting turut hampir menjaringkan gol pada minit ke-66, namun tandukannya sedikit tersasar.
Ratchaburi menambah jaringan pada minit ke-53 selepas sepakan sudut Jakkaphan Kaewprom disempurnakan Gabriel Mutombo dengan tandukan padu untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Penjaga gol Persib, Teja Paku Alam mempamerkan aksi terbaik apabila menafikan rembatan kencang Negueba pada minit ke-65, namun ia tidak cukup untuk menyelamatkan pasukannya.
Gol ketiga hadir pada minit ke-84 menerusi satu lagi serangan balas pantas apabila Gleyson melorongkan bola kepada Pedro Tana yang tenang menolak masuk untuk melengkapkan kemenangan bergaya 3-0.
Aksi timbal balik akan berlangsung di Stadium Gelora Bandung Lautan Api pada 18 Februari ini, dengan Persib berdepan tugas berat untuk membalikkan defisit tiga gol. -DETIK MALAYSIA
Kredit foto – RBFC