KUALA LUMPUR – Kemelut undang-undang melibatkan “Heritage 7” Malaysia memasuki fasa genting apabila Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John mendedahkan bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai peluang sebenar untuk membatalkan hukuman berat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Kontroversi tercetus selepas FIFA mengenakan penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain berdarah campuran negara iaitu Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Facundo Garces, Hector Hevel, João Figueiredo, Jon Irazabal dan Imanol Machuca, selain mengenakan denda kewangan yang besar ke atas FAM.
Selain larangan tersebut, Malaysia turut diarahkan tewas 0-3 dalam tiga perlawanan persahabatan rasmi yang sekali gus menjejaskan kedudukan Harimau Malaya dalam ranking FIFA.
Dalam pendedahan mengejutkan menerusi program XI Sebelas Utama di Astro Arena, Windsor berkata perkembangan kes ini sudah pun memecahkan beberapa kebiasaan dalam sejarah rayuan bola sepak antarabangsa, memberi harapan baharu kepada penyokong menjelang keputusan akhir pada 26 Februari ini.
Beliau menjelaskan bahawa kebiasaannya, apabila FIFA atau AFC mengenakan hukuman, permohonan “penangguhan pelaksanaan” di CAS jarang diluluskan. Namun, dalam kes tujuh pemain warisan ini, CAS membenarkan mereka kembali beraksi sementara menunggu keputusan penuh.
“Secara realitinya, menangguhkan hukuman FIFA adalah keputusan yang sangat sukar. Sejak saya memegang jawatan pada 2015, saya tidak pernah melihat kes di mana seseorang terlepas daripada hukuman awal melalui injunksi sementara di CAS. Selalunya mereka gagal. Tetapi kali ini berbeza,” katanya.
Bagaimanapun, Windsor menegaskan perkara itu tidak bermakna Malaysia pasti menang, namun beliau meletakkan peluang negara pada nisbah 50-50, menunjukkan hujah undang-undang yang dikemukakan FAM mempunyai merit yang kukuh.
Keputusan akhir kes ini bakal menjadi penentu nasib “Heritage 7” dan masa depan beberapa pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC