MADRID – Gergasi La Liga, Real Madrid, dilaporkan sudah mula menyusun pelan besar bagi memperkukuh benteng pertahanan menjelang jendela perpindahan musim panas akan datang.
Kontrak David Alaba yang bakal berakhir hujung musim ini meletakkan skuad Los Blancos dalam situasi berjaga-jaga. Dalam masa sama, masa depan pertahanan kental Jerman, Antonio Rudiger, di Santiago Bernabeu juga masih menjadi tanda tanya.
Situasi itu memaksa pengurusan Real lebih agresif memantau pasaran, khususnya di Bundesliga. Antara nama yang berada dalam radar ialah Nico Schlotterbeck dan Castello Lukeba, dengan ketua pencari bakat kelab, Juni Calafat, dilaporkan mengikuti rapat perkembangan kedua-dua pemain tersebut.
Selain nama berprofil tinggi, Real turut mengintai bakat muda berpotensi besar. Laporan media Sepanyol menyebut bek berusia 19 tahun dari Gambia, Abubacarr Sedi Kinteh, kini berada dalam senarai pemantauan.
Kinteh yang kini beraksi bersama Tromso (Norway) sudah pun menjadi tonggak penting pasukannya walaupun masih mentah dari segi usia. Bek muda itu memiliki kelebihan teknikal, selesa beraksi dalam sistem tiga pertahanan dan berani membawa bola keluar dari kawasan sendiri – ciri yang cukup sinonim dengan gaya permainan Real Madrid.
Keupayaannya itu menyebabkan beliau dilihat sebagai calon jangka panjang menggantikan peranan Alaba, terutama dari aspek versatiliti dan ketenangan ketika menguasai bola.
Bagaimanapun, Real bukan bersendirian. Dua kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea dan Manchester United, turut dikatakan menaruh minat terhadap pemain muda tersebut.
Namun, buat masa ini Kinteh belum dianggap sebagai keutamaan utama perpindahan musim panas. Los Blancos dijangka terus memantau perkembangannya sebelum membuat keputusan muktamad.
Dengan musim yang masih panjang, segala kemungkinan masih terbuka. Apa yang pasti, Real Madrid tidak mahu kecundang dalam merancang masa depan benteng pertahanan mereka. – DETIK MALAYSIA