KUALA LUMPUR – Polemik yang sedang dimainkan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, susulan naratif yang mendakwa beliau ‘bersekongkol’ dengan pihak politik serta kononnya menggunakan agensi itu untuk agenda pendakwaan terpilih dipandang serius.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, tuduhan sebesar itu tidak boleh dilontarkan sewenang-wenangnya sebagai propaganda politik atau ‘trial by media’.
Beliau berkata, sekiranya wujud bukti, ia perlu dikemukakan melalui saluran perundangan, namun jika tiada asas, dakwaan tersebut jelas merupakan fitnah yang boleh merosakkan reputasi institusi penguat kuasa berkenaan.
“MCW menggesa Azam mengambil tindakan undang-undang segera bukan sahaja terhadap mana-mana laporan media yang didakwa mengelirukan, malah terhadap ahli politik dan pihak berkepentingan termasuk cybertrooper yang menyebarkan tuduhan serius tanpa bukti seperti dakwaan “konspirasi politik” dan “bersekongkol”.
“Langkah mengarahkan peguam mengeluarkan surat tuntutan serta menyatakan kesediaan berdepan di mahkamah adalah wajar bagi menghentikan ‘perang persepsi’ yang berpanjangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Jais menolak tanggapan bahawa penjawat awam wajib mengumumkan kepada umum setiap butiran pelaburan atau perniagaan peribadi.
Sebaliknya, katanya, pengisytiharan aset perlu dibuat mengikut prosedur pentadbiran dan melalui saluran rasmi termasuk HRMIS kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), merangkumi sumber pendapatan serta perolehan dan pelupusan aset termasuk saham.
“Perbahasan sepatutnya kembali kepada isu pematuhan, rekod pengisytiharan dan pengurusan konflik kepentingan yang telah dibuat mengikut peraturan,” katanya.
Mengulas persoalan mengapa isu berkenaan dipanaskan ketika ini, MCW tidak menolak kemungkinan wujud ‘kartel’ atau konspirasi jahat susulan tindakan agresif dan berani SPRM dalam menjalankan penguatkuasaan.
Menurutnya, tekanan terhadap kepimpinan agensi penguat kuasa lazimnya meningkat apabila tindakan tegas diambil, termasuk cubaan mengalih tumpuan melalui perang persepsi.
Tegasnya, MCW kekal konsisten mempertahankan institusi sambil menegakkan prinsip akauntabiliti. Jika semua pematuhan telah dibuat dan tiada konflik kepentingan, fitnah mesti dihentikan serta pihak yang menuduh wajar berdepan tindakan undang-undang. Namun, sekiranya berlaku pelanggaran, siasatan bebas dan telus perlu dilaksanakan tanpa pilih kasih.
Sehubungan itu, MCW menyeru semua pihak khususnya ahli politik agar tidak menjadikan isu integriti sebagai senjata bermusim kerana negara memerlukan SPRM yang kukuh dan tidak dilemahkan oleh serangan reputasi tanpa bukti. – DETIK MALAYSIA