KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak enggan ambil risiko menurunkan pemain baharu, Gabriel Palmero terlalu awal bagi memberi ruang untuknya membentuk keserasian terbaik dalam tempoh terdekat ini.
Pemain bek kiri ini sah menjadi senjata baharu untuk Kuching City FC pada jendela perpindahan pemain tempoh hari dan telah menjalani latihan bersama pasukan bermula sejak Selasa.
Namun, Aidil memberi bayangan untuk tidak menggunakan khidmat Palmero terlebih dahulu pada aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia, Sabtu ini bagi memberi peluang kepadanya menyesuaikan diri sebaik mungkin dengan suasana baharu di Kuching.
“Kita kena bersabar sebab dia pun baru sahaja mula latihan semalam (Selasa), jadi baru satu hari dia bersama kami sebenarnya.
“Jangan kita lupa yang dia (Palmero) pun sebenarnya dah lebih kurang 4 bulan tak bermain dalam aksi kompetitif selepas kami ada berborak semalam.
“Jadi kita kena hati-hati sebab nak elak kecederaan juga, kita tidak mahu dia datang dengan kualiti yang tinggi dan selepas itu ada kecederaan berlaku, jadi biarlah dia menyesuaikan diri dan dapat keserasian dahulu.
“Terutamanya daripada segi formasi dan taktikal dalam latihan kerana sudah tentu ia berbeza sewaktu dia di Sepanyol dan waktunya akan tiba untuk beraksi nanti,” katanya.
Meskipun kehadiran Palmero dilihat akan beri persaingan sengit kepada bek kiri lain seperti Scott Woods, namun Aidil melihat ia akan menjadi kekuatan tambahan untuk barisan pemain terus berusaha merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Ini ialah strategi dan pelan saya juga sebab saya tidak mahu pemain lain terus rasa selesa sebab di sini segalanya adalah tentang kerja keras untuk mereka berusaha merebut tempat.
“Tapi saya gembira sebab setakat ini semua pemain saya memang tidak pernah pun rasa cepat selesa dan mereka tahu peranan masing-masing.
“Ditambah pula, saya dapat tengok Palmero bukan sahaja boleh main di bek kiri, sebab saya ada cuba letak dia di bek kanan, dan dia nampak selesa juga di posisi itu, jadi ini adalah petanda yang baik untuk pasukan,” tambahnya.
Kuching City FC yang kini mendahului dengan agregat 3-1 akan menerima kunjungan DPMM FC pada Sabtu di Stadium Negeri dalam misi merebut slot ke separuh akhir Piala Malaysia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MFL