MANCHESTER – Stadium keramat yang sinonim dengan sorakan dan gegaran penyokong bakal berubah wajah pada 24 Februari ini apabila Old Trafford menjadi lokasi majlis berbuka puasa sempena Ramadan 2026.
Program istimewa itu dianjurkan oleh Manchester United Muslims Supporters Club (MUMSC), komuniti penyokong Muslim kelab berkenaan, dengan penyertaan terhad sekitar 80 ahli terdiri daripada pengurusan dan penyokong setia.
Jika sebelum ini Theatre of Dreams menjadi pentas pertempuran bola sepak, kali ini ia bertukar menjadi ruang ukhuwah apabila para peserta berkumpul untuk berbuka puasa sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di kawasan stadium.
Majlis tersebut bukan sekadar acara makan bersama, sebaliknya turut diserikan dengan laungan azan dan bacaan al-Quran yang dipimpin qari serta imam berpengalaman, Ibrahim (Ibi) Idris.
Kehadirannya dijangka menambah suasana khusyuk dalam stadium yang biasanya dipenuhi laungan penyokong Red Devils.
Penganjur memaklumkan, program ini merupakan kesinambungan tradisi Ramadan yang dimulakan tahun lalu dan mendapat sambutan positif. Ia sekali gus membuktikan bahawa komuniti penyokong bola sepak mampu menjadi jambatan perpaduan merentasi budaya dan agama.
Old Trafford yang menjadi saksi pelbagai detik gemilang Manchester United di pentas domestik dan Eropah kini turut melakar sejarah baharu sebagai ruang inklusif untuk aktiviti sosial dan keagamaan.
Pihak penganjur memastikan segala kemudahan termasuk ruang solat yang selesa, penyediaan juadah berbuka serta sokongan logistik disusun rapi bagi menjamin kelancaran program.
Majlis berbuka puasa ini dijangka menjadi pengalaman bermakna buat ahli MUMSC, sekali gus memperkukuh ikatan sesama penyokong.
Pada 24 Februari nanti, Old Trafford bukan sahaja bergema dengan sejarah bola sepak, tetapi turut menyaksikan momen kebersamaan yang menyentuh hati dan menguatkan ukhuwah dalam kalangan penyokong Manchester United. – DETIK MALAYSIA