PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau terbuka sepenuhnya untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan Kerajaan berhubung isu pemilikan saham yang dibangkitkan.
Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan semua pengisytiharan kewangan serta harta telah dibuat selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa melalui saluran rasmi yang ditetapkan.
“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang.
“Pendekatan sedemikian penting bukan sahaja untuk mempertahankan integriti peribadi saya, malah bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sebagai penjawat awam dan ketua agensi penguatkuasaan, mana-mana individu yang berdepan dakwaan sewajarnya bersikap terbuka serta bersedia untuk disiasat secara bebas dan telus.
“Prinsip ini harus terpakai kepada semua tanpa pengecualian. Budaya akauntabiliti tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim,” tegasnya.
Dalam pada itu, SPRM memaklumkan pihaknya sentiasa mengambil maklum setiap laporan dan aduan yang dikemukakan termasuk oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta menilai maklumat berkenaan berdasarkan undang-undang dan fakta yang diperoleh melalui proses siasatan yang sah.
“Tiada siapa berada di atas undang-undang dan tiada siapa juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata.
“Saya akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana mekanisme yang sah dan ditubuhkan secara wajar bagi meneliti perkara ini,” katanya.
Beliau yakin kebenaran akan ditegakkan melalui proses yang adil, bebas dan berlandaskan undang-undang. – DETIK MALAYSIA