KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Khas Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara bersetuju melantik Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi menjalankan tugas Timbalan Presiden parti.
Presidennya, Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu merupakan tindakan yang perlu diambil dan pilihan terbaik buat masa ini dalam usaha memulihkan perpaduan serta menyelamatkan parti.
Menurut beliau, Mesyuarat Khas MPT Bersatu turut sepakat untuk terus menyokong perjuangan parti, membina semula organisasi, memperkukuh perpaduan dalam kalangan ahli serta memperkasakan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya menyeru ahli-ahli Bersatu supaya kekal tenang sementara barisan kepimpinan yang bersama-sama saya pada hari ini mengemudi parti kembali ke landasan perjuangannya yang asal untuk membela nasib rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini. – DETIK MALAYSIA