ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) hampir pasti menempah slot ke separuh akhir Piala Malaysia 2025/26 selepas membelasah Melaka FC 5-0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Penyerang baharu, Ajdin Mujagic, muncul wira apabila meledak hatrik pada penampilan sulungnya bersama skuad Harimau Selatan.
JDT bermula garang dengan gandingan Hector Hevel dan Bergson da Silva mengawal tempo seawal minit pertama. Mujagic membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi sentuhan mudah di depan gawang.
Tiga minit kemudian, penyerang itu sekali lagi mencetak nama selaku penjaring apabila melepaskan rembatan kencang yang gagal ditepis penjaga gol Melaka, Haziq Aiman, untuk menjadikan kedudukan 2-0 sebelum minit ke-10.
Melaka cuba bangkit menerusi sepakan percuma Do Dong-hyun pada minit ke-27, namun percubaan tersebut tidak menguji penjaga gol JDT, Christian Abad.
Bersambung babak kedua, JDT terus mendominasi permainan. Mujagic melengkapkan hat-trick pada minit ke-61 sekali gus memastikan debut yang cukup sempurna.
Pesta gol tuan rumah diteruskan menerusi jaringan solo menarik Manuel Hidalgo pada minit ke-73 sebelum Marcos Guilherme melengkapkan kemenangan 5-0 dua minit kemudian selepas memanfaatkan kealpaan benteng pelawat.
Aksi timbal balik akan berlangsung di Stadium Hang Jebat, Krubong pada 25 Februari ini dengan Melaka berdepan tugas getir untuk merapatkan defisit lima gol. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST