KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan dasar mengehadkan jumlah kenderaan bagi menangani kesesakan trafik, khususnya di Lembah Klang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelbagai langkah mitigasi terus dilaksanakan terutama menjelang musim perayaan, namun pertambahan kenderaan saban tahun memberi tekanan besar kepada sistem jalan raya sedia ada.
Menurutnya, sebanyak 820,000 kenderaan direkodkan terjual di seluruh negara tahun lalu, sekali gus meningkatkan beban terhadap infrastruktur trafik.
“Jika diperkenalkan dasar seperti ‘end of life vehicle’, ia berpotensi menimbulkan implikasi lain termasuk bantahan serta aduan daripada pelbagai pihak.
“Buat masa ini tiada dasar khusus untuk mengawal jumlah kenderaan. Namun dalam jangka panjang, perkara ini perlu diteliti secara menyeluruh supaya pertambahan dapat diurus secara lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis edaran pek cenderahati kepada penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di KL Sentral, di sini hari ini.
Anthony berkata, Malaysia muncul sebagai pasaran kenderaan terbesar di Asia Tenggara tahun lalu walaupun jumlah penduduk sekitar 30 juta, dengan angka jualan mengatasi Indonesia dan Thailand.
Katanya, usaha memperkukuh pengangkutan awam akan terus dipergiat sebagai alternatif kepada pengguna jalan raya.
“Antara inisiatif terdekat ialah mempercepatkan pembukaan Laluan LRT 3 yang kini di peringkat akhir ujian keselamatan dan teknikal sebelum dibuka kepada orang ramai.
“Kita mahu beri pilihan kepada rakyat. Bukan tidak mahu buka lebih awal, tetapi semua prosedur dan ujian wajib dipatuhi demi keselamatan,” jelasnya.
Sementara itu, sempena Tahun Baharu Cina, dengan penambahan tiga set ETS3 baharu, KTMB menyediakan 16 trip perkhidmatan ETS tambahan, menjadikan keseluruhan 58 trip sehari sepanjang tempoh perayaan. – DETIK MALAYSIA