HULU SELANGOR – Seorang wanita maut manakala dua lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 443.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dari Bukit Beruntung menghala ke Kuala Lumpur pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.33 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai sebelum tiba pada pukul 7.41 pagi.
“Komander Operasi, PBK I Mohd Khasyaff Che Hashim melaporkan kemalangan melibatkan sebuah lori treler membawa muatan kapur, Honda City dan BMW.
“Terdapat empat mangsa terlibat. Pemandu lori berusia lingkungan 40-an mengalami kecederaan parah di kepala. Pemandu Honda City, lelaki berusia 50-an cedera ringan manakala penumpang wanita kenderaan sama berusia 50-an disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu BMW berusia 30-an dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Kesemua mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut. Operasi melibatkan 14 anggota dengan bantuan tiga jentera iaitu FRT, RRV dan CFRT. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Ihsan Bomba