KUALA LUMPUR – Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) kini diletakkan secara langsung di bawah Pejabat Panglima Angkatan Tentera (PAT) dalam usaha memperkukuh institusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, berkata langkah penstrukturan semula itu dibuat bagi memperkasakan peranan Kagatsebagai penasihat, pemantau dan pembimbing dalam membina sahsiah serta ketahanan rohani warga ATM.
“Sebagai langkah pertama memperkukuhkan institusi, saya mahu Kagat diletakkan terus di bawah Panglima Angkatan Tentera. Peranannya akan dipertingkatkan dalam membina sahsiah dan kekuatan rohani warga angkatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perbarisan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera ke-24 di Dataran PTD, Kem Sungai Besi, hari ini.
Menurutnya, jika tonggak pertama memberi penekanan kepada pembinaan jiwa dan akhlak, tonggak kedua pula memastikan sistem pentadbiran selari dengan nilai itu.
“Integriti bukan sekadar niat baik. Ia perlu disokong struktur jelas dan disiplin pelaksanaan yang konsisten,” katanya.
Sebelum ini, Kagat berada di bawah Bahagian Perkhidmatan Anggota (BPA), sekali gus mengehadkan akses terus pengarahnya dengan kepimpinan tertinggi ATM.
Katanya, susunan lama menyebabkan interaksi langsung dengan Panglima-Panglima Perkhidmatan dan PAT terbatas, sekali gus menjejaskan keberkesanan strategi kerohanian.
“Dengan penstrukturan ini, Pengarah Kagat akan melapor terus kepada saya. Inisiatif dan perancangan dapat disampaikan secara lebih terbuka dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu membuka ruang lebih luas kepada Kagat untuk melaksanakan peranan secara lebih efektif dalam memperkukuh akhlak dan jati diri warga ATM. – DETIK MALAYSIA